Naik turun kadar pertukaran Kadar_pertukaran

Kadar pertukaran berasaskan pasaran akan berubah apabila nilai salah satu daripada dua mata wang komponen berubah. Satu matawang akan cenderung ke lebih nilai apabila permintaan untuknya melebihi penawaran yang sedia ada. Matawang itu akan menjadi kurang bernilai apabila permintaan kurang daripada penawaran yang ada (ini tidak bermaksud orang tidak lagi hendakkan wang, sebaliknya cuma bererti bahawa mereka lebih rela memegang kekayaan mereka dalam suatu bentuk lain, barangkali matawang lain).

Peningkatan permintaan untuk satu mata wang adalah disebabkan sama ada peningkatan permintaan urus niaga untuk wang, atau peningkatan permintaan spekulatif untuk wang. Permintaan urus niaga untuk wang amat berhubung kait dengan tahap kegiatan perniagaan negara, keluaran dalam negara kasar (KDNK), dan tahap guna tenaga. Makin ramai yang menganggur, maka makin kurang perbelanjaan barang dan perkhidmatan oleh orang awam secara keseluruhannya. Bank pusat biasanya kurang menghadapi kesulitan dalam menyesuaikan penawaran wang sedia ada untuk menampung perubahan dalam permintaan untuk wang hasil urus niaga.

Permintaan spekulatif untuk wang lebih sukar untuk ditampungi bank pusat, namun bank pusat berusaha dengan menyesuaikan kadar faedah. Seseorang pelabur boleh memilih untuk membeli satu matawang jika pulangannya (iaitu kadar faedah) cukup tinggi. Makin tinggi kadar faedah sesebuah negara, maka makin besarlah permintaan untuk mata wangnya. Pernah dihujahkan bahawa spekulasi mata wang boleh menghakis pertumbuhan ekonomi sebenar, khususnya kerana spekulator mata wang besar boleh sengaja mengenakan tekanan menurun terhadap suatu mata wang agar memaksa bank pusat menjual mata wangnya untuk menstabilkannya (apabila ini berlaku, spekulator ini boleh membeli mata wang itu balik dari bank pada harga yang lebih rendah, mengukuhkan kedudukan mereka, dan dengan ini mengaut untung).